Skip to main content

Prinsip Kerja Sosial: Prinsip Generik Kerja Sosial

1.  Keindividuan
Sifat harga diri semula jadi, penghargaan, ketelusan kehormatan individu. Kita mengindividukan seseorang. Setiap manusia adalah unik. Kita memberi pandangan atau gambaran kepada klien bahawa kita sebagai mahkluk Tuhan yang khas. Setiap manusia mempunyai nilai-nilai, norma-norma yang tertentu dan mereka percayai. Hal ini membuat setiap manusia adalah berbeza dan mempunyai pandangan dan konsep tersendiri. Pekerja sosial tidak boleh mengganggap setiap manusia mempunyai masalah yang sama serta tidak boleh mencampuradukkan masalah sesorang dengan masalah orang lain. Bagi klien, masalahnya adalah unik atau ganjil. Oleh itu, setiap individu serta masalahnya adalah berbeza daripada individu yang lain serta masalahnya

2.  Penerimaan Tanpa Syarat
Pekerja sosial seharusnya dapat menerima setiap klien mereka tanpa syarat. Hal ini adalah kerana berdasarkan kepada kepercayaan yang manusia pada asalnya adalah baik, suci dan patut dilayan dengan baik. Kita tidak boleh berprasangka buruk terhadap klien kita. Klien-klien diterima sebagai diri mereka tanpa mengira perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka. Namun pada masa yang sama, pekerja sosial percaya bahawa setiap individu sepatutnya bertanggungjawab terhadap setiap tindakannya dan juga terhadap orang lain. Penerimaan di sini tidak bermaksud kita menerima perbuatan jahatnya tetapi kita menerima dirinya. Kita menerimanya semata-mata untuk memahami perasaan yang dilahirkan dan mendapat kerjasama daripada klien


3.  Sikap Tidak Menghukum
Sikap ini tidak menentukan sesuatu secara melulu tanpa diselidiki atau siasatan di samping menolong klien mengikut kehendaknya serta bersesuaian dengan keadaan masyarakat. Kita janganlah memandang rendah terhadap klien. Fungsi kerja sosial adalah untuk membantu klien dan bukannya menghukum klien atau menentukan sama ada perbuatannya betul atau salah. Pekerja sosial hanya perlu membantu klien untuk menyelesaikan masalah mereka dengan cara yang bersesuian tanpa menghukum mereka

4.  Penentuan Kendiri
Prinsip ini mengiktiraf keperluan klien. Pekerja sosial hanya membantu klien untuk mengenal pasti keperluan yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah bukannya menyelesaikan masalah itu bagi pihak klien. Klien mempunyai hak dan kebebasan untuk menentukan keputusan dan pilihannya. Pekerja sosial juga haruslah menghormati hak klien, mengakui kehendak-kehendak itu serta menyedarkan dan menolong membina segala kebolehannya. Pekerja sosial tidak akan mengarah, merayu atau memujuk klien untuk menerima sesuatu keputusan yang ditentukannya. Pekerja sosial perlu membantu klien mereka untuk mendapatkan semula keyakinan serta mempercayai kebolehan mereka untuk menyelesaikan masalah sendiri. Pekerja sosial boleh menjelaskan masalah-masalah dan mencadangkan cara-cara atau tindakan alternatif tetapi mereka tidak boleh memaksa klien untuk menerima cadangan tersebut

5.  Kerahsiaan
Maklumat yang disampaikan oleh klien adalah sulit dan perlu dirahsiakan. Pekerja sosial juga percaya yang klien mereka berhak untuk merahsiakan tingkah laku mereka. Apa yang diberitahu oleh klien kepada pekerja sosial adalah berdasarkan kepada sikap saling mempercayai antara mereka. Ia merupakan rahsia di antara klien dan pekerja sosial dalam konteks tugas rasmi. Klien tidak akan menceritakan segala-galanya dengan jujur jika mereka tidak mempercayai pekerja sosial tersebut. Sebaik-baiknya pekerja sosial mempunyai bilik yang berasingan untuk membolehkan klien meluahkan segala masalahnya serta perasaannya tanpa rasa curiga apa yang dikatakan oleh mereka itu didengari oleh orang lain. Sebagai pekerja sosial, kita perlu ingat bahawa klien yang datang kepada kita dengan kepercayaan yang tinggi, mereka akan menceritakan segala rahsia kepada kita. Tetapi, sejauhmanakah “kerahsiaan” itu perlu dipatuhi? Bagi kes klien yang ingin membunuh diri, pekerja sosial tidak sepatutnya merahsiakan hal tersebut kerana ia melibatkan nyawa

6.  Melahirkan Perasaan Dengan Bertujuan
Pekerja sosial telah dilatih untuk menggalakkan klien untuk mencurahkan perasaan mereka. Setiap orang yang mempunyai masalah ingin mencurahkan segala perasaan serta masalah mereka kepada orang lain yang mereka percayai. Hal ini juga adalah sama dengan klien. Apabila klien berhadapan dengan pekerja sosial, mereka ingin meluahkan perasaannya sebebas yang boleh dengan bertujuan. Apabila klien meluahkan perasaan mereka, pekerja sosial perlulah mendengar dengan berhati-hati dengan tujuan tidak membantut, mencemuh atau mentertawakannya. Pekerja sosial dapat memahami masalah klien dengan lebih mendalam dan akan menjadi lebih sensitif terhadap keperluan mereka

7.  Penglibatan Emosi Yang Terkawal
Klien yang datang mencari pekerja sosial akan mencurahkan segala perasaan atau emosi yang sudah lama terpendam. Hal ini akan menyebabkan segala emosi dicurahkan. Walaubagaimanapun, pencurahan emosi mestilah dikawal dan digunakan dengan bertujuan. Pekerja sosial haruslah pandai mengawal emosi diri sendiri daripada melibatkan diri dalam emosi dengan klien. Hal ini demikian kerana penglibatan emosi yang berlebihan boleh mengurangkan kecekapan mereka berfungsi secara rasional dan efektif. Oleh itu, pengawalan perasaan yang terkawal amat penting supaya ia tidak terlampau sehingga menyebabkan dirinya terbawa-bawa oleh perasaan yang boleh menjejaskan fokus dan daya pemikiran untuk memberi petunjuk yang bijak. Cth kes keganasan rumah tangga, pekerja sosial haruslah pandai mengawal emosi mereka sendiri walaupun ia berasa sangat sedih atau marah apabila mendengar klien meluahkan perasaan mereka supaya pekerja sosial dapat memberi petunjuk yang rasional serta bersesuaian kepada klien mereka

8.  Intervensi Secara Langsung
Pekerja sosial memindahkan pengalaman perhubungan kerja kes profesion dengan menolong orang-orang yang memerlukan berdasarkan hubungan bersemuka. Pekerja sosial cuba mengendalikan klien mereka secara langsung dan membentuk perhubungan yang bermakna dengan mereka

Comments