Skip to main content

Gender: Peranan Gender

Peranan Gender
Peranan gender dikaitkan dengan fungsi dan tanggungjawab yang ditentukan masyarakat kepada lelaki dan wanita dalam menjalankan kehidupannnya. Peranan gender juga merupakan peranan dan tanggungjawab yang diberikan kepada lelaki dan wanita yang ditentukan oleh politik dan budaya masyarakat serta disosialisasikan serta mesti dipatuhi oleh lelaki dan wanita. Peranan gender juga mempunyai kaitan dengan peranan dan kedudukan sosial yang berbeza mengikut zaman dan masyarakat tertentu. Peranan gender juga timbul akibat daripada perspektif masyarakat tentang perbezaan peranan sosial yang dimainkan oleh lelaki dan wanita iaitu bagaimana seseorang lelaki dan wanita harus bertindak, berfikir dan menunjukkan emosinya. Peranan gender juga didefinisikan berbeza mengikut budaya masyarakat dan biasanya mengandungi ciri-ciri umum tertentu seperti jangkaan perwatakan personaliti, peranan sosial dan kedudukan sosial. Peranan gender boleh dan memang berubah mengikut peredaran masa, di antara masyarakat dan budaya, serta akibat daripada perubahan sosial, ekonomi dan politik.

Peranan Gender Lelaki
Lelaki dilihat sebagai mempunyai perwatakan yang ganas, gagah, kuat, tidak beremosi, berdikarai dan pandai berpolitik. Lelaki juga dikaitkan dengan sifat-sifat maskulin seperti gagah dan perkasa. Lelaki haruslah memilih pekerjaan yang bersifat maskulin seperti polis, tentera, engineer dan doktor. Pekerjaan-pekerjaan ini dilihat bersesuaian dengan sifat lelaki yang gagah, berdikari serta sebagai pelindung. Lelaki juga tidak dibenarkan untuk beremosi dan haruslah bersifat tegas. Hal ini telah menyebabkan lelaki dibesarkan dalam persekitaran yang mengajar mereka supaya sentiasa bersifat gagah dan kuat yang seterusnya menyumbang kepada sifat ego yang tinggi dalam diri mereka. Sebagai contoh, sejak kecil lagi, budak lelaki diajar oleh ibu supaya jangan menangis apabila jatuh ataupun kalah dalam pergaduhan dengan lelaki lain. Peranan gender lelaki juga dapat dilihat semasa mereka dilahirkan dan dibentuk oleh keluarga iaitu budak lelaki dipakaikan dengan pakaian berwarna biru, berseluar dan berkasut. Budak lelaki dibenarkan untuk melakukan aktiviti yang lasak dan mencabar seperti main bola sepak, panjat pokok dan lain-lain. Hal ini demikian kerana budak lelaki telah disosialisasikan sejak dari mereka kecil lagi. Budak lelaki juga akan diberi pelajaran yang mencukupi kerana ilmu tersebut dianggap amat penting kepada mereka apabila mereka membesar. Apabila mereka membesar dan memiliki sesebuah keluarga, lelaki berperanan sebagai ketua keluarga. Mereka yang akan bekerja di luar rumah dan mencari rezeki untuk menyara hidup isteri dan anak-anak mereka. Sebagai contoh, suami yang akan bekerja di luar rumah sebagai peguam atau doktor serta mencari pendapatan.

Peranan Gender Wanita

Wanita pada pandangan masyarakat adalah cantik, lemah-lembut, bersopan-santun, tahu memasak dan lain-lain. Para wanita juga dikatakan sebagai golongan yang lemah dan memerlukan perlindungan daripada para lelaki. Hal ini telah menyebabkan budak perempuan telah disosialisasikan sejak kecil lagi kerana wujudnya persepsi masyarakat tersebut. Budak perempuan dari sejak kecil diajar untuk memasak, menjahit baju, membasuh baju, menyidai baju dan lain-lain. Mereka dari kecil lagi akan diajar oleh ibu-ibu mereka bagaimana untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan ini. Budak-budak perempuan pada zaman dahulu akan dikahwinkan pada usia yang muda seperti 14 tahun. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat untuk belajar dan tempat mereka hanyalah berada di rumah. Budak-budak perempuan yang berkahwin ini juga haruslah mendengar cakap suami mereka dan memasak serta menyediakan makanan untuk suami mereka. Mereka bertindak sebagai isteri dan ibu yang menyokong keluarga. Wanita juga mempunyai satu tanggungjawab yang besar iaitu melahirkan zuriat iaitu anak untuk keluarga suami. Wanita yang tidak boleh melahirkan anak mungkin akan dipandang rendah oleh masyarakat kerana masyarakat menganggap bahawa mereka tidak dapat menjalankan peranan mereka dengan baik. Wanita pula harus memilih pekerjaan yang bersifat feminin iaitu guru tadika atau jururawat. Bagi wanita yang memilih pekerjaan yang bersifat maskulin akan dilihat sebagai pelik kerana mereka tidak akur kepada persepsi masyarakat.

Comments

  1. Pada pendapat saya gender lelaki dan perempuan perlu diteruskam dalam perespi masyarakat

    ReplyDelete
  2. Pada pendapat saya, peranan gender pada masa kini telah berubah, tidak ada perana atau tanggungjawab yg specifik diberikan kpd lelaki mahupun perempuan.Lelaki boleh memasak dan perempuan boleh membaiki lampu.

    ReplyDelete
  3. hai, saya baru belajar tentang gender dan masyarakat. Saya nak tahu dengan konsep small b dan Big B .. boleh tak jelaskan tentang perkara ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin saudara/saudari boleh tanya pensyarah. Maaf ya. Saya tidak dapat menjawab pertanyaan saudara/saudari.

      Delete
  4. apakah peranan gender dalam masyarakat

    ReplyDelete

Post a Comment