Konsep Kebajikan Sosial
Kebajikan adalah sinonim dengan perkataan kesejahteraan dan kebaikan manakala sosial pula ialah sesebuah masyarakat atau komuniti. Kebajikan sosial merupakan sebuah institusi, program dan aktiviti yang diwujudkan untuk menjamin kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat serta meningkatkan kualiti kehidupan dari segi mental, fizikal, emosi, kerohanian dan keperluan ekonomi. Kebajikan sosial juga merupakan sesebuah institusi yg terancang dan tersusun untuk memenuhi keperluan manusia dari segi keperluan asasi, keperluan perkembangan diri dan keperluan kesempurnaan diri supaya dapat meningkatkan cara gaya hidup masyarakat. Kebajikan sosial juga merupakan satu institusi pelaburan sosial iaitu institusi sosial yg dibina oleh masyarakat untuk menjaga kepentingan masyarakat dan memastikan keselamatan terjamin. Kebajikan sosial juga merupakan fungsi-fungsi tidak menguntungkan yang jelas bertujuan untuk membantu golongan yg kurang bernasib baik, wanita dan kanak-kanak yg didera dan ditindas, anak yatim piatu, orang-orang tua tanpa penjagaan rapi yg dipinggirkan. Kebajikan sosial juga merupakan undang-undang, kaedah dan perkhidmatan untuk bertindak balas dengan masalah sosial yg wujud. Institusi ini juga mengawal dan merawat masalah sosial yg sedia ada serta mencegah dan mengawal daripada kemunculan masalah sosial yg baru. Secara umumnya, kebajikan sosial merupakan satu institusi yg diwujudkan oleh masyarakat untuk memenuhi keperluan manusia serta membangunkan sumber manusia supaya kesejahteraan individu, keluarga dan komuniti dapat dijaga dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Peranan Kebajikan Sosial
- Memenuhi keperluan hidup anggota masyarakat
Keperluan hidup adalah sesuatu keadaan, barang, benda atau perkara yang mesti dimiliki atau dipenuhi bagi menjamin kesejahteraan hidup individu. Keperluan hidup ini juga haruslah dipenuhi supaya individu dapat meneruskan hidupnya tanpa sebarang masalah. Keperluan hidup ini juga memastikan fungsi dan peranan fizikal, mental dan seksual seseorang dapat berjalan atau berfungsi dengan baik dan berkesan. Keperluan hidup manusia terdiri daripada keperluan asasi seperti keperluan fizikal dan fisiologi seperti makanan yang berkhasiat dan berzat, rehat yang mencukupi dan kesihatan yang baik serta keperluan keselamatan dan perlindungan seperti tempat tinggal yang selamat, terlindung daripada ancaman bahaya dan jaminan kewangan yang stabil. Selain itu, terdapat juga keperluan perkembangan diri iaitu keperluan kasih sayang dan keperluan kendiri seperti menghormati diri sendiri, keyakinan diri, reputasi yang baik serta status dan prestij. Di samping itu, terdapat juga keperluan kesempurnaan diri iaitu keperluan pemenuhan diri, keperluan ilmu pengetahuan dan pemahaman serta keperluan estetika. Keperluan-keperluan ini merupakan perkara yang penting dalam setiap diri individu dan kekurangan mana-mana aspek keperluan ini akan menyebabkan kemusnahan kesejahteraan hidup manusia yang akibat daripada masalah sosial yang timbul. Sebagai contoh, individu yang kelaparan akan berusaha mencari makanan melalui jalan mencuri di kedai makanan atau restoran untuk memenuhi kelaparannya. Seseorang yang tidak mempunyai kewangan yang stabil pula mungkin akan merompak, mencuri atau meragut untuk mendapatkan wang supaya dapat membeli barang keperluan harian diri sendiri dan juga ahli keluarga. Oleh itu, institusi kebajikan sosial telah diwujudkan untuk memenuhi keperluan-keperluan anggota masyarakat ini. Contoh, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diwujudkan membantu masyarakat yang mempunyai masalah sosial. Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai program atau perkhidmatan sosial seperti BR1M untuk membantu anggota masyarakat yang miskin. Institusi-institusi ini boleh mengenal pasti keperluan-keperluan semasa yang sentiasa diperlukan oleh masyarakat dan seterusnya memberi bantuan sosial kepada anggota masyarakat yang mengalami masalah keperluan-keperluan ini. Misalnya, latihan industri seperti mengajar cara berniaga telah diberikan kepada ibu tunggal supaya dapat memenuhi keperluan hidup mereka serta anak-anak mereka.
- Mentadbir urus masalah sosial yang mengancam kehidupan masyarakat
Institusi kebajikan ditubuhkan seiringan dengan kejadian masalah sosial yang berlaku di dalam sesebuah negara. Oleh itu, institusi kebajikan sosial ini diwujudkan oleh masyarakat untuk bertindak balas dengan masalah sosial yang wujud dalam kalangan anggota masyarakat. Masalah sosial merupakan suatu tindakan atau tingkah laku sosial yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada masyarakat. Masalah sosial juga dapat ditakrifkan sebagai ketidaksesuian antara unsur-unsur yang terdapat dalam sesebuah komuniti dan ketidakseuaian ini akan membawa bencana, masalah serta ketidaksejahteraan kepada kumpulan, masyarakat atau komuiti. Institusi kebajikan sosial perlu mentadbir maslah sosial ini dengan berkesan supaya dapat mengawal masalah sosial yang wujud agar tidak merebak, untuk melindungi masyarakat daripada terus melakukan tingkah laku yang melanggar peraturan dan undang-undang negara, untuk menghukum anggota masyarakat yang melakukan kesalahan jenayah atau perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan negara, untuk melindungi dan memelihara hak-hak dan kebebasan sosial individu, untuk menguatkuasakan udang-undang negara, untuk menjamin ketenteraman, keharmonian dan kestabilan sosial dan politik negara agar boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih maju. Sebagai contoh, JKM perlu bekerjasama dengan institusi atau organisasi perkhidmatan sosial yang lain seperti Jabatan Perumahan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan dan lain-lain untuk bertindak balas dengan masalah sosial yang wujud. Contoh, JKM haruslah bekerjasam dengan pihak polis untuk menyelesaikan masalah sosial seperti tingkah laku jenayah delinkuen, penyalahgunaan dadah atau ubat-ubatan dan lain-lain. Bagi menyelesaikan masalah-masalah sosial ini, pelbagai pendekatan, cara, strategi yang digunakan untuk mencegah da mengawal masalah-masalah ini. Cara, strategi atau pendekatan yang digunakan haruslah secara profesional dan secara berbeza supaya masalah sosial yang wujud dapat diselesaikan dengan baik. Contoh, bagi golongan remaja yang terlibat dalam jenayah delinkuen haruslah diselesaikan dengan cara yang berbeza dengan golongan remeja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
- Menyediakan peluang sosial untuk memperkasa dan membangunkan aset sosial
Peluang sosial haruslah diwujudkan supaya anggota masyarakat dapat memajukan diri mereka masing-masing. Institusi kebajikan sosial haruslah mewujudkan peluang-peluang ini supaya anggota masyarakat dapat menggunakan peluang-peluang ini untuk memajukan potensi yang terdapat dalam diri mereka. Antara peluang sosial yang dapat disediakan adalah program-program seperti latihan industri atau perkhidmatan sosial yang lain untuk membantu mereka. Contoh, Jabatan Pendidikan telah mewujudkan perkhidmatan pendidikan kepada semua lapisan masyarakat dari tadika sehingga ke peringkat universiti supaya mereka boleh mendapat pelbagai ilmu pengetahuan dan seterusnya menggunakan ilmu tersebut untuk memajukan diri mereka. Peluang-peluang sosial ini haruslah diberi secara sama rata dan adil kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira muda atau tua, miskin atau kaya, lelaki atau perempuan. Peluang-peluang sosial ini haruslah dirancang dengan teliti supaya berkesan dan anggota masyarakat pula dapat memanfaatkan peluang sosial ini untuk memajukan diri mereka. Akses kepada maklumat dan sistem jaringan sosial harus terbuka kepada semua individu tanpa mengira kaum, agama, jantina dan lain-lain. Sebagai contoh, setiap masyarakat haruslah diberi peluang untuk menikmati kemudahan-kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah, hospital, pengangkutan dan kemudahan sosial yang lain.
Comments
Post a Comment